DRAF KERTAS KERJA - PRINSIP PENGAJARAN BACAAN

PENDEKATAN , KAEDAH, TEKNIK , STRATEGI

https://docs.google.com/file/d/0B9sm3huiJ4mhT2tmZUFhNHAzSzQ/edit?usp=sharing

PERBEZAAN PENDEKATAN , KAEDAH, TEKNIK , STRATEGI
https://docs.google.com/presentation/d/1yBmCjnNxGiL2bIfcpavz7hW4X2TPWkOpTHviaOEfKR8/edit?usp=sharing


2.0  KEMAHIRAN MEMBACA

Definisi


Membaca adalah salah satu masalah utama yang dihadapi oleh kanak-kanak masalah pembelajaran.  Bacaan juga merupakan sebagai punca utama kegagalan kanak-kanak di sekolah. Malah dikatakan juga bahawa kegagalan membaca akan membawa kepada perlakuan salah laku, cemas,  kurang motivasi, dan perasaan rendah diri (Mercer, 1992).  Membaca adalah kemahiran yang kompleks dan banyak definisi diberikan untuk  menjelaskan maksud bacaan.  Secara asasnya, membaca mengandungi dua proses  asas, iaitu  ”nyah kod” (decode) dan pemahaman.  Proses nyah kod melibatkan pemahaman  tentang hubungan antara huruf-huruf dan menterjemahkan perkataan tulisan kepada  bentuk yang sama dengan bahasa lisan.  Oleh itu, kemahiran nyah kod membolehkan  seseorang menyebut  perkataan yang ditulis dengan betul.  Manakala poroses pemahaman pula membolehkan  seseorang memahami makna sesuatu perkataan  atau makna perkataan mengikut konteks.


Terdapat banyak definisi yang diberikan untuk menjelaskan maksud bacaan.  Harris dan Sipay (1980) menyifatkan proses membaca sebagai proses untuk memperoleh tafsiran yang bermakna tentang lambang-lambang  bercetak atau bertulis.  Manakala Kenedy (1981) pula mendefinisikan bacaan sebagai  keupayaan  seseorang untuk mengecam  bentuk visual (lambang-lambang grafik yang mewakili bahasa atau perkataan), menghubungkan  bentuk itu dengan bunyi atau makna yang telah diketahui,  dan seterusnya  berasaskan pengalaman lalu, memahami dan mentafsirkan maksudnya (Marohaini Yusoff, 1999). Dua definisi yang diberikan ini sudah cukup untuk menjelaskan bahawa kemahiran membaca adalah  satu proses yang kompleks.

Berdasarkan definisi-definisi membaca yang ditelitinya,  Marohaini Yusoff (1989) telah merumuskan proses membaca seperti berikut:

1.      Perlakuan membaca adalah perlakuan yang  kompleks dan tidak dapat diperhatikan.  Cuma dua komponen kemahiran utama yang dipersetujui wujud dalam  kemahiran membaca iaitu kemahiran mengenal atau mengecam perkataan dan kemahiran  memahami apa yang dibaca.

2.      Sesuatu perlakuan membaca mesti dapat menghasilkan pemahaman   
             selain  pengecaman  dan penyebutan perkataan-perkataan.  Maksudnya,  
             untuk menjadi pembaca yang berkesan, seseorang  itu tidak perlu dapat  
             menyebut  perkataan dengan   betul dan lancar asalkan dia tahu  makna            
             perkataan-perkataan yang dibacanya.

3.      Semasa membaca, seseorang itu perlu berfikir, merasai, dan membayangkan apa yang dibaca.

  1. Seseorang murid itu  mempunyai tujuan, jangkaan,  pengetahuan, dan  pengalaman lalu yang akan  mempengaruhi  apa yang akan dibacanya.

  1. Dalam sesuatu proses bacaan, terdapat susun atur tugasan seperti
      berikut:

a)    mengecam atau mengenal lambang atau perkataan yang dilihat..
b)    mengaitkan lambang  atau perkataan dengan  bunyi atau makna.
c)    menterjemahkan makna perkataan itu dengan mengaitkannya dengan apa yang sedia ada di kepala.
d)    mengumpul dan mencantumkan idea, perkataan,dan ayat sehingga menjadi sebuah idea yang kengkap.
e)    mencuba menghuraikan idea kepada orang lain.

4.      Melihat kepada susun tugas dalam proses membaca, dapatlah dikatakan bahawa membaca adalah satu  proses yang memerlukan pemikiran yang aktif.


Berdasarkan definisi membaca dan rumusan yang dibuat berkaitan dengan proses membaca, dapatlah dimengerti bahawa membaca  adalah kemahiran yang kompleks yang melibatkan beberapa kemahiran lain.

5.1.2     Proses Membaca


Daripada definisi-definisi yang dibincangkan di atas,  ternyata bahawa membaca  adalah  proses yang  kompleks yang  yang terdiri daripada gabungan beberapa proses yang kompleks, iaitu proses sensori (kederiaan), proses pengamatan, proses bahasa (linguistik), dan proses kognitif. Setiap proses memainkan peranan penting dalam proses membaca secara keseluruhan.

i.              Membaca sebagai proses sensori (kederiaan)


Deria atau panca indera adalah pintu masuk berbagai rangsangan ke otak untuk diproses.  Dua deria yang terlibat secara aktif dalam proses membaca adalah penglihatan dan pendengaran.   Kedua-dua deria ini berhubung rapat antara satu sama lain dalam proses membaca. 

a)         Deria penglihatan

Proses membaca berlaku apabila lambang-lambang dilihat dan  disalurkan ke otak untuk diproses bagi mendapat makna sebenar.  Bagi individu yang bermasalah penglihatan  (buta)   deria penglihatan akan  digantikan  dengan  deria sentuhan.

 b)        Deria pendengaran

Seseorang memerlukan pendengaran yang  baik untuk membolehkannya membaca dengan   baik.   Seseorang perlu mendengar dengan  baik mesej yang diterima supaya  ia dapat menghasilkan semula mesej itu  dengan jelas dan tepat.   Keadaan ini tidak berlaku kepada individu yang mengalami masalah pendengatan.



 ii.         Membaca sebagai proses pengamatan

Pengamatan adalah satu proses menimbulkan makna kepada tugas-tugas panca  indera berdasarkan pengalaman lalu  dan pengamatan ini berhubung rapat dengan  pemikiran. Dalam bacaan, pengamatan membolehkan seseorang mengenal  dengan  tepat lambang-lambang dan mengaitkannya dengan  bunyi-bunyi dan juga makna.  Pengamatan dalam bacaan adalah seperti (1) mendiskriminasi iaitu mengecam dan juga membezakan, (2)  “figure ground” iaitu mengenal objek-objek, bentuk, atau corak-corak, (3)  ingatan, iaitu mengingat kembali apa yang dilihat atau didengar, dan (4)  turutan, iaitu seperti memahami  giliran dan  urutan.


iii.          Membaca sebagai satu proses bahasa


Bacaan adalah sebagaian daripada kemahiran bahasa (language arts) iaitu yang bermula daripada mendengar, bertutur, membaca, dan seterusnya menulis.  Membaca dapat membantu manusia berkomunikasi dan berhubung sesama mereka  melalui sistem lambang-lambang tulisan yang mereka cipta.


iv.         Membaca adalah satu proses kognitif

Membaca  bukan hanya melibatkan proses mekanis tetapi juga melibatkan proses  kognitif atau berfikir pada  semua peringkat membaca seperti  mengecam, mendiskriminasi,  dan memaham. Oleh itu kecerdasan seseorang akan mempengaruhi  kemajuannya dalam  membaca.


Faktor-faktor yang Berkaitan Dengan Membaca

Kesediaan  Membaca



Kesediaan adalah faktor penting sebelum seseorang kanak-kanak menguasai sesuatu kemahiran.  Seorang kanak-kanak tidak boleh terus berjalan sekiranya otot-otot anggota kakinya cukup kuat untuk berdiri dan seterusnya berjalan. Oleh itu bagi menyediakan kanak-kanak berjalan, dia akan memulakan   dengan merangkak, duduk, bangun, berdiri, bertatih, dan barulah berjalan.  Begitu juga
dengan membaca,  seseorang kanak-kanak harus mempunyai keadaan perkembangan  yang diperlukan terlebih dahulu sebelum  kemahiran membaca diperkenalkan  diajar kepadanya.

Kebolehan membaca kanak-kanak wujud sekiranya kanak-kanak itu memahami dan bertindak secara bersesuaian  apabila melihat perkataan-perkataan yang ditulis. Maksudnya kanak-kanak mesti berkeupayaan memahami konsep iaitu (1)  semua “benda” mempunyai nama, (2)  nama benda boleh  ditulis dalam perkataan, (3) , kedua-duanya saling bertukar, dan (4)  simbol-simbol perkataan boleh dibaca (Mechado, 1985).

Kanak-kanak boleh cepat membaca sekiranya mereka hidup dalam persekitaran yang intelektual yang sentiasa  berfaedah dengan tulisan seperti buku, surat khabar, dan sebagainya, kanak-kanak yang kaya dengan pengalaman persekitaran seperti ke pasar raya, ke pameran atau   ke pusat-pusat peranginan, dan  juga kanak-kanak mempunyai banyak peluang untuk berinteraksi dengan orang lain.

Faktor-faktor yang mempengaruhi kesediaan membaca kanak-kanak adalah:

i.              keadaan fizikal
ii.            pengalaman dan persekitaran
iii.           emosi, motivasi, dan sahsiah
iv.           kecerdasan
v.            pengamatan
vi.           penguasaan bahasa


Keadaan fizikal merujuk kepada keadaan mata, telinga, dan organ pertuturan yang sempurna.

Persekitaran yang intelektual yang memberi pengalaman-pengalaman bermakna akan dapat  merangsang otak dan menimbulkan minat membaca.  misalnya mendengar cerita,  lawatan ke perpustakaan atau ke kedai buku,  ibu bapa yang kerap berbual dengan anak mereka, dan sebagainya.

Keadaan rumah tangga yang dan cara asuhan akan  mempengaruhi  perkembangan emosi, motivasi, dan sahsiah kanak-kanak.  Dorongan yang diberikan oleh ibu  bapa boleh mempengaruhi sikap membaca kanak-kanak.

Kecerdasan dan perkembangan kognitif kanak-kanak sangat mempengaruhi kemahiran membaca kanak-kanak.  Kanak-kanak yang cerdas akan dapat menguasai kemahiran membaca dengan lebih cepat berbanding dengan kanak-kanak lain yang sebaya dengannya.

Kemahiran membaca memerlukan keupayaan  pengamatan yang kuat, iaitu daya diskriminasi  penglihatan dan diskriminasi pendengaran.  Semasa membaca kanak-kanak perlu mendiskriminasi huruf dan juga mendiskriminasi bunyi-bunyi huruf.

Kanak-kanak yang menguasai bahasa dengan baik akan dapat belajar kemahiran membaca dengan cepat dan dapat membaca dengan baik kerana bahasa adalah alat manusia melahirkan fikiran, perasaan, kehendak ,dan sebagainya  semasa berkomunikasi.

Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa dan juga guru untuk memastikan kanak-kanak sudah mempunyai kesediaan membaca yang mencukupi sebelum mula mengajar kemahiran membaca kepada kanak-kanak.

Faktor-faktor yang Mempengaruhi Kebolehan Membaca


Kemahiran  membaca adalah satu proses kognitif yang kompleks.  Oleh itu faktor-faktor yang mempengaruhi kemahiran membaca juga adalah rumit dan saling mempengaruhi.  Kesedaran tentang faktor-faktor yang mempengaruhi bacaan ini akan dapat membantu guru   merancang pengajaran bacaan untuk murid-muridnya. Menurut Marohaini Yusoff (1999) faktor yang mempengaruhi bacaan terbahagi kepada dua kategori besar, iaitu:

i.              faktor yang ada pada diri murid atau pembaca
ii.            faktor yang ada pada bahan bacaan.

Peringkat-peringkat Mengajar Bacaan


Pengajaran bacaan yang dijalankan boleh guru bahasa tertumpu kepada dua kemahiran iaitu bacaan secara kuat (bacaan mekanis) dan bacaan secara senyap (bacaan mentalis/akaliah). Kemahiran membaca kuat lebih menumpukan kepada kemahiran sebutan, intonasi, dan gaya membaca (membaca berita).  Manakala bacaan senyap merupakan kemahiran membaca untuk memaham dan juga kepantasan membaca  petikan sesuatu bahan.

Mengajar kemahiran membaca kepada kanak-kanak hendaklah dibuat secara berperingkat-peringkat supaya  mereka dapat menguasai kemahiran membaca dengan baik.  Kamarudin Hj. Husin (1988)  membahagikan pengajaran  bacaan kepada lima peringkat:

i.              peringkat menyediakan murid
ii.            peringkat mendirikan  asas
iii.           peringkat melatih  membaca dan memaham
iv.           peringkat melatih membaca untuk hiburan atau mencari maklumat
v.            peringkat membina dan mengukuhkan  sikap gemar membaca.


Apabila kanak-kanak memasuki tahun  satu persekolahan, guru perlu menyiasat terlebih dahulu tahap kesediaan murid terutamanya penguasaan bahasa dan juga emosi murid.  Pengetahuan guru tentang tahap kesediaan membaca murid dan juga kemahiran  sedia ada murid akan dapat membantu guru untuk menyediakan murid bagi pelajaran membaca. 

Peringkat mendirikan asas  bacaan sangat penting dalam pengajaran kemahiran membaca kepada  murid-murid.  Pada peringkat ini guru perlu menggunakan pelbagai alat bantu mengajar  dan juga bahan bacaan yang sesuai. Bahan bacaan yang digunakan hendaklah ringkas, menarik, dan bermakna.  Kemahiran asas bacaan bermula dengan mengenal abjad, suku kata, perkataan, frasa, dan seterusnya ayat.  Pada peringkat ini juga galakan dan dorongan perlu diberikan kepada murid secara berterusan.

Peringkat seterusnya adalah melatih membaca dan memaham.   Pada peringkat ini bahan bacaan yang digunakan hendaklah dipilih dengan baik.  Selain menekankan aspek sebutan dan kelancaran, guru juga mula menekankan aspek  pemahaman. Kebiasaan murid membaca nyaring boleh dikurangkan kepada bacaan senyap secara beransur-ansur. Soalan-soalan guru  berkaitan bahan yang dibaca akan membantu murid membina kemahiran memaham.

Setelah kanak-kanak sudah boleh membaca dengan lancar dan seterusnya memahami isi bahan yang dibaca, mereka akan menggunakan kemahiran ini untuk memilih bahan bacaan lain untuk mencari maklumat dan juga untuk mengisi masa lapang.  Guru boleh membantu kanak-kanak dengan mengajar mereka kemahiran mencari maklumat di pusat sumber dan juga internet.

Akhir sekali adalah peringkat membina sikap suka membaca.  Sikap  suka membaca hendaklah dipupuk di peringkat sekolah lagi supaya sebati dengan jiwa kanak-kanak.  Kebiasaannya sekolah kerap mengadakan pertandingan membaca, pameran buku, peraduan mengarang, dan sebagainya.

Pemulihan  Bacaan

Menguji Kemahiran Membaca

Membaca adalah salah satu kemahiran bahasa yang penting dikuasai oleh kanak-kanak supaya mereka dapat mencapai kemajuan dalam pelajaran dan juga kualiti kehidupan mereka.  Sebab itulah sekiranya seorang murid gagal membaca dengan baik selalunya dikaitkan  dengan kegagalan pengajaran guru dan juga pendidikan di sekolah berkenaan. Sebab itu guru perlu didedahkan kepada alat, kaedah dan teknik menguji kemahiran bacaan terutamanya ujian bacaan  secara diagnostik. Ujian diagnostik bacaan akan dapat membantu guru mengesan kesukaran-kesukaran khusus bacaan murid.

Ujian bacaan perlu diberikan kepada murid supaya guru dapat mengesan secara objektif kesukaran-kesukaran  yang dihadapi oleh murid dalam proses membaca. Bermula dari sinilah guru akan dapat merancang aktiviti-aktiviti pengajaran pemulihan bacaan.  Murid yang bermasalah dalam bacaan tidak boleh dibiarkan berterusan dengan masalah membacanya kerana akan memberi kesan terhadap pencapaiannya dalam pelajaran secara keseluruhan.

Ujian bacaan hendaklah dijalankan secara berterusan supaya maklumat yang diperolehi dapat memberi gambaran sebenar kelemahan murid.  Masalah bacaan sebenar murid penting supaya guru dapat  menilai semula rancangan pemulihan bacaan dan boleh membantu guru menentukan objektif pengajaran bacaan seterusnya.  Kaedah dan teknik mengajar membaca perlu dipelbagaikan bagi mengelak kebosanan.


5.3.2   Ujian Bacaan Nyaring

Terdapat berbagai-bagai jenis ujian bacaan yang boleh dilaksanakan guru kepada murid-muridnya. Namun begitu ujian  bacaan nyaring merupakan langkah pertama untuk mengesan kesukaran-kesukaran secara khusus dalam bacaan secara diagnostik.  Berdasarkan kajian-kajian lepas, Abdul Aziz Talib (1989) telah menyenaraikan kesukaran-kesukaran dalam  kawasan-kawasan  yang perlu ditubuhkan dalam sesebuah ujian bacaan:

1.  Peringkat huruf (abjad)

a)    Huruf kecil (a-z)

i.              mengenal bentuk huruf
ii.            mengenal nama huruf
iii.           mengenal bunyi huruf
b)    Huruf besar (A-Z)

i.              mengenal bentuk huruf
ii.            mengenal nama huruf
iii.           mengenal  bunyi huruf

c)    memadan huruf besar-huruf kecil

d)    Diskriminasi penglihatan

i.              huruf-huruf yang berdekatan bentuk
ii.            huruf besar dalam  perkataan
iii.           huruf-huruf kecil dalam perkataan

e)    Diskriminasi pendengaran

     Huruf-huruf yang berdekatan bunyi foniknya

f)     Pembalikan huruf (reversals)

i.              huruf besar
ii.            huruf kecil

2.  Peringkat Perkataan

            a)  membatang suku kata terbuka
           b)  membatang suku kata tertutup
            c)  membatang suku kata yang mempunyai gugusan konsonan

3.  Peringkat Perkataan

a)  pembalikan perkataan
b)  membezakan bunyi fonem /e/ dan /a/ dalam perkataan
c)  membatang dan mencantumkan suku kata-suku kata terbuka dalam
     perkataan
c)  Membatang dan mencantumkan suku kata-suku kata tertutup dalam
     perkataan
d)  Membatang dan mencantumkan suku kata-suku kata yang
     mengandungi gugusan konsonan dalam perkataan
f)   Kekeliruan antara ejaan dan sistem bunyi Bahasa Melayu dan Bahasa
     Inggeris dalam perkataan
g)  Menyebut perkataan dasar dan perkataan berimbuhan

4.  Peringkat Frasa

     Membaca frasa-frasa sebagai satu unit makna/pemikiran.

5.  Peringkat Ayat

            a)  Membaca ayat-ayat  pendek
            b) membaca ayat-ayat panjang

Daerah-daerah kesukaran yang disenaraikan di atas hendaklah diuji melalui item-item soalan yang dibina oleh guru yang dibina secara berasingan. Guru boleh menggunakan kad-kad ujian bagi setiap daerah kesukaran yang hendak diuji dan tidak perlu dijalankan serentak bagi kesemua tajuk.

Dalam ujian bacaan nyaring, murid  diminta membaca petikan dengan kuat dan guru merekod kesalahan –kesalahan yang dilakukan  murid.  Abdul Aziz Talib (1989) menyenaraikan jenis kesilapan yang perlu direkod seperti berikut:

a)    membuang/meninggalkan (omission) – bunyi huruf/perkataan /imbuhan yang ditinggalkan
b)    Ulangan (repetition) -  mengulang-ulang perkataan/suku kata
c)    Gantian (substitute)  -  bunyi huruf/perkataan diubahgantikan
d)    Tambahan (insertion) – bunyi huruf/imbuhan/perkataan ditambah
e)    Pembalikan (reversals) -  huruf/perkataan/frasa dibaca secara terbalik/songsang.


Kesalahan-kesalahan di atas boleh mengubah makna perkataan atau ayat yang dibaca dan perlu diberi perhatian oleh guru untuk mengatasinya.  Selain  itu, guru juga perlu merekodkan masalah-masalah atau tingkah laku yang ditunjukkan semasa murid membaca, iaitu:

a)    membatang suku kata terlebih dahulu
b)    bacaan tersekat-sekat iaitu perkataan demi perkataan
c)    membaca terlampau cepat atau gopoh tanpa menghiraukan  tanda bacaan
d)    membaca terlampau lambat atau merangkak-rangkak
e)    tidak boleh membaca langsung.

Maklumat lain yang perlu direkodkan guru adalah sekiranya murid mempunyai kecacatan yang boleh menjejas bacaannya seperti gagap, sengau, pelat, telor, masalah penglihatan, dan masalah pendengaran.

Latihan:

 Bincanhgkan bagaimana bacaan ujian nyaring boleh membantu guru mengetahui tahap penguasaan lisan kanak-kanak?


5.3.3    Prinsip-prinsip pengajaran Pemulihan Bacaan

Segala maklumat yang guru perolehi membolehkannnya merancang rancangan pengajaran pemulihan bacaan untuk muridnya. Margaret  et.al., 1989) telah menyarankan beberapa prinsip pengajaran pemulihan bacaan  yang boleh dijadikan pegangan oleh guru dalam membantu muridnya membaca.

Guru haruslah memulakan pengajaran pada tahap yang sesuai.  Keputusan ujian diagnostik bacaan dapat membantu guru mengenal pasti daerah kelemahan dan tahap  bacaan murid. 

Murid perlu diberi tangungjawab terhadap pembelajaran mereka.  Murid akan dapat belajar dengan lebih baik sekiranya mereka terlibat secara langsung dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Gunakan bacaan nyaring dan bacaan senyap mengikut kesesuaian.  Gunakan setiap jenis bacaan ini mengikut keperluan murid.  Bacaan senyap sangat berkesan untuk mengajar murid mengawal proses bacaan mereka sendiri.  Manakala bacaan nyaring pula sangat berkesan untuk meningkatkan kemahiran sebutan dan kelancaran bacaan.


Latihan:

Guru dapat mengesan kelemahan bacaan muridnya melalui pemerhatiannya di dalam proses pengajaran bacaan di dalam kelas. Jelaskan petunjukp-petunjuk yang guru perhatikan  untuk  mengetahui kelemahan bacaan muridnya?


 Komponen Pengajaran Pemulihan Bacaan

Sepanjang sesi pengajaran bacaan guru disarankan  mengikut langkah-langkah pengajaran yang meliputi komponen-komponen bacaan berikut:



                                             Komponen-komponen
                                             Pengajaran Bacaan








Bacaan peringkat                 Pengajaran               Menyemak                 Bacaan
pengajaran                           berfokus                    semula                       bebas



Bacaan peringkat pengajaran bermaksud murid membaca bahan bacaan mengikut tahap pembelajaran mereka.  Di sini mereka akan menjumpai perkataan-perkataan baru  dan juga konsep-konsep baru di bawah bimbingan guru yang akan membantu menyelesaikan masalah dan juga membantu mereka menguasai bahan bacaan dengan baik.

Pengajaran berfokus dilaksanakan bergantung kepada keperluan murid. Guru mungkin akan memperuntukkan sedikit masa untuk membantiu murid tertentu membaca dengan memberi fokus kepada aspek tertentu dalam bacaan.  Cara ini akan membantu murid memfokus kepada aspek bacaan yang mereka hadapi kesukaran.

Menyemak atau meneliti semula dilakukan untuk membantu murid untuk mengingat semula perkara yang telah dipelajarinya. Sedikit masa yang diperuntukkan digunakan untuk mengingat semula seperti makna perkataan  dan bahan bacaan yang telah dipelajari sebelum itu.

Bacaan bebas  adalah untuk membentuk sikap membaca yang kekal, iaitu murid mendapati membaca dapat memberi maklumat, dan menyeronokkan.  Pada peringkat ini murid digalakkan memilih bahan bacaan mereka mengikut tahap bacaan bebas mereka iaitu dapat membaca sendiri tanpa bimbingan guru.

Latihan:

Pada pendapat anda apakah aktiviti pengajaran bacaan yang sesuai digunakan oleh guru bagi setiap peringkat bacaan?


Kesimpulan

Kemahiran membaca sangat penting dikuasai oleh kanak-kanak kerana melalui pembacaan mereka dapat meningkatkan pencapaian mereka dalam pelajaran, meluaskan pengetahuan, mencari dan mengumpul maklumat-maklumat yang diperlukan dan lain-lain lagi.  Guru memainkan peranan penting dalam mengajar kanak-kanak kemahiran membaca.  Oleh itu guru perlu nmenggunakan pelbagai kaedah dan teknik pengajaran bacaan supaya kemahiran membaca dapat dikuasai dengan baik.  Ujian-ujian pemahaman bacaan perlu dijalankan secara berterusan bagi mengetahui dan  mamantau pencapaian murid dalam bacaan.


Rumusan

1.  Secara asasnya, membaca mengandungi dua proses  asas, iaitu  ”nyah kod”   
     (decode) dan pemahaman.

2.  Proses nyah kod melibatkan pemahaman  tentang hubungan antara huruf-
     huruf dan menterjemahkan perkataan tulisan kepada  bentuk yang sama
     dengan bahasa lisan.

3.  Manakala poroses pemahaman pula membolehkan  seseorang memahami
     makna sesuatu perkataan  atau makna perkataan mengikut konteks.

4.  Membaca  adalah  proses yang  kompleks yang  yang terdiri daripada
     gabungan beberapa proses yang kompleks, iaitu proses sensori (kederiaan),
     proses pengamatan, proses bahasa (linguistik), dan proses kognitif.

5.  Seseorang kanak-kanak harus mempunyai keadaan perkembangan  yang
     diperlukan terlebih dahulu sebelum  kemahiran membaca diperkenalkan 
     diajar kepadanya.

6.  Faktor yang mempengaruhi bacaan terbahagi kepada dua kategori besar,
     iaitu (1) faktor yang ada pada diri murid atau pembaca dan (2) faktor yang
     ada pada bahan bacaan.

7.  Kamarudin Hj. Husin (1988)  membahagikan pengajaran  bacaan kepada lima
     Peringkat, iaitu menyediakan murid,  mendirikan  asas, melatih  membaca
     dan memaham, melatih membaca untuk hiburan atau mencari maklumat, dan  
     peringkat membina dan mengukuhkan  sikap gemar membaca.

8.  Ujian bacaan perlu diberikan kepada murid supaya guru dapat mengesan
     secara objektif kesukaran-kesukaran  yang dihadapi oleh murid dalam proses 
     membaca.

9.  ujian  bacaan nyaring merupakan langkah pertama untuk mengesan
       kesukaran-kesukaran secara khusus dalam bacaan secara diagnostik.




3.0  JENIS-JENIS BACAAN

Secara luaran kita mungkin mengatakan bahawa ‘bacaan’ itu adalah ‘membaca’menukar grafik kepada ‘makna’ dan seterusnya memahami keseluruhan apa yang dibaca. Sebenarnya‘bacaan’ boleh dibahagikan kepada beberapa jenis seperti:
  1. Bacaan Mekanis
  2. Bacaan Mentalis
  3. Bacaan Intensif
  4. Bacaan Ekstensif
1. Bacaan Mekanis

Bacaan mekanis adalah bacaan kuat yang mementingkan sebutan huruf dan bunyi dengan betul, membaca mengikut intonasi, nada dan tekanan yang betul. Bahan bacaan yang digunakan dalam bacaan mekanis terdiri daripada perkara yang mudah difahami dan tidak membebankan fikiran.

2. Bacaan Mentalis

Bacaan mentalis atau dikenali juga sebagai bacaan akaliah merupakan bacaan secara senyap. Aspek-aspek kefahaman diberikan penekanan, sementara aspek-aspek sebutan, nada, tekanan dan intonasi tidak ditekankan dalam bacaan ini.

3. Bacaan Intensif

Bacaan intensif ialah bacaan yang pada asasnya bertujuan memperkembangkan kebolehan dalam meneliti, memaham dan mentafsir apa sahaja yang dibaca dengan tepat. Di samping itu, bacaan intensif memberi tekanan kepada kajian-kajian terhadap ciriciri tatabahasa, meneliti pembentukan dan penggunaan perkataan, serta pemakaian bahasa itu dalam konteks dan situasi yang berlainan. Latihan bacaan intensif biasanya memerlukan bimbingan dan bantuan penuh daripada guru-guru terutama dalam menghadapi dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh murid.

Konsep-konsep bacaan intensif:
  1. Bacaan intensif merupakan satu kegiatan membaca yang dikaitkan dengan usaha melanjutkan lagi perkembangan pembelajaran bahasa murid di bawah pimpinan guru.
  2. Bacaan intensif memberi asas untuk pengajar memberi penjelasan atau keterangan mengenai struktur yang sukar dan juga memberi asas untuk memperkembang perbendaharaan kata.
  3. Bacaan intensif dikaitkan dengan aktiviti mengkaji ciri-ciri tatabahasa iaitu susunan kata dalam ayat dan pengertian menurut kamus yang ditemui oleh murid dalam bacaannya
  4. Bacaan intensif mengembangkan lagi usaha mengawal penggunaan bahasa dalam pertuturan dan tulisan.
  5. Gerak laju dan kelainan latihan adalah dianggap amat penting.
4. Bacaan Ekstensif

Bacaan ekstensif ialah bacaan meluas yang menekankan aktiviti-aktiviti membaca yang dilakukan di luar kelas. Bacaan ekstensif biasanya memberi tumpuan kepada beberapa aspek terutamanya menitikberatkan aspek pengukuhan asas bacaan, menambah kemahiran memaham dan menaakul isi bacaan, meningkatkan kepantasan membaca, membina dan mengukuh minat membaca dan kebolehan memetik isi-isi penting. Mengikut kebiasaannya, melalui bacaan ekstensif ini murid akan dapat kepuasan dan keseronokan di samping berpeluang menimba ilmu pengetahuan.

Konsep bacaan ekstensif;

  1. Bacaan ekstensif merupakan satu kegiatan membaca yang dilakukan oleh murid di luar kelas secara bersendirian tanpa bimbingan guru.
  2. Bahan bacaan harus luas, bukan sahaja sesuai dari segi perbendaharaan katanya tetapi juga sesuai dengan minat, umur, jantina, pengalaman, sikap dan cita-cita murid itu.
  3. Bahan bacaan ekstensif harus daripada bahan-bahan yang berbeza.
  4. Bacaan ekstensif mengandaikan murid membaca sesuatu bahan tanpa menghadapi kesukaran dan melalui bacaan ekstensif ini murid mendapat kepuasaan, seronok dan terhibur.
Bacaan ekstensif mempunyai peranannya yang tersendiri khususnya dalam pembelajaran bahasa. Antara peranannya ialah;
  1. Meningkatkan pemahaman murid terhadap bahan bacaan.
  2. Meningkatkan ketrampilan berbahasa dalam kalangan murid. Dalam hal ini, bacaan ekstensif dapat membantu murid untuk mengenal perkataan dan mengenal simbol-simbol yang terdapat dalam bahan bacaan.
  3. Mendedahkan murid kepada aspek-aspek bahasa. 
  4. Menambahkan kosa kata. Kajian menunjukkan kanak-kanak tidak banyak mengetahui atau menguasai kosa kata melalui pembelajaran secara formal. Sebaliknya, penguasaan kosa kata banyak diperoleh melalui bahan bacaan. Malah, penguasaan kosa kata melalui bacaan dapat membantu kanak-kanak memahami kosa kata berkenaan.
  5. Membantu murid dalam penulisan. Kajian mendapati kanak-kanak atau murid yang banyak membaca dapat menulis dengan baik. Perkara ini berlaku disebabkan oleh penguasaan ilmu dan pengetahuan yang dimiliki oleh murid berkenaan yang akhirnysa dapat disalurkan dalam penulisan mereka.
  6. Memotivasikan murid untuk membaca. Bahan bacaan yang digunakan untuk bacaan ekstensif sebaik-baiknya bersesuaian dengan keperluan, minat dan cita rasa murid. Perkara ini perlu diberi perhatian sebagai usaha untuk menarik minat dan motivasi murid untuk membaca.
  7. Mengukuhkan pengetahuan bahasa yang telah dipelajari. Aspek-aspek bahasa yang telah dipelajari sebelumnya di dalam bilik darjah dapat diberi pengukuhan dan penekanan serta dapat diaplikasikan dalam pembelajaran bahasa pada masa yang akan datang.
  8. Menyakinkan murid untuk membaca teks yang panjang.Pada kebiasaannya, pengajaran bacaan yang dilakukan di dalam kelas kebanyakannya menggunakan teks yang pendek dan ringkas, serta tumpuan yang terhad kepada aspek tatabahasa dan kosa kata. Sebaliknya, bacaan ekstensif memberi keyakinan kepada murid untuk menerokai aspek-aspek bahasa yang lebih mencabar.
  9. Meningkatkan kemahiran dalam membuat jangkaan.Bacaan ekstensif kadangkala melibatkan pengetahuan lepas yang dimilki oleh murid. Pengetahuan ini banyak membantu murid dalam membuat jangkaan terhadap sesuatu kejadian atau situasi yang terdapat dalam bahan bacaan. Perkara ini akan memudahkan murid untuk memahami dan membuat tafsiran terhadap bahan bacaan yang dibaca dengan lebih mudah dan cepat.
Ciri-ciri pendekatan bacaan ekstensif
  1. Murid membaca seberapa banyak buku yang termampu. Bacaan boleh dilakukan di dalam atau di luar kelas.
  2. Menyediakan bahan bacaan yang pelbagai topik. Perkara ini penting bagi menggalakkan murid membaca dengan pelbagai tujuan dan pelbagai cara.
  3. Murid memilih sendiri bahan untuk dibaca dan seterusnya murid juga dibenarkan menghentikan bacaan sekiranya bahan bacaan berkenaan didapati tidak menarik.
  4. Matlamat membaca untuk keseronokan, mendapat maklumat dan pemahaman secara umum. Matlamat ini dikenal pasti melalui keaslian bahan dan minat murid.
  5. Membaca dilakukan mengikut kehendak murid itu sendiri. Dalam hal ini, latihan yang sedikit ataupun tidak ada latihan diberikan selepas bacaan.
  6. Bahan bacaan bersesuaian dengan ketrampilan berbahasa murid khususnya dari pada aspek kosa kata dan tatabahasa. Penggunaan kamus sebaik-baiknya dielakkan bagi memastikan bacaan berjalan lancer tanpa gangguan.
  7. Bacaan dilakukan bersendirian secara senyap dan mengikut kemampuan sendiri. Murid akan menentukan di mana dan bila mereka akan membaca.
  8. Kelajuan bacaan ditingkatkan terutamanya apabila menmbaca bahan bacaan yang mudah difahami.
  9. Guru memandu murid ke arah mencapai matlamat program, menjelaskan kaedah, memastikan bahan yang dibaca oleh murid dan membimbing murid agar mendapat manfaat daripada bacaan berkenaan.
  10. Guru menjadi model kepada murid dengan menunjukkan manfaat yang diperoleh daripada bahan bacaan.


4.0   KAEDAH PENGAJARAN BACAAN


KAEDAH ABJAD

1. Menurut Azman Wan Chik (1993), kaedah abjad dianggap sebagai kaedah nama-nama huruf yang digunakan di dalam tulisan Melayu iaitu A, B, C, …… hingga Z.
2. Murid-murid diajar menghafal nama-nama huruf secara mengikut turutan bermula dari A hingga Z.
3. Teknik pengajaran dimulakan dengan guru menunjukkan kad abjad kepada murid dan guru menyebut terlebih dahulu abjad-abjad tersebut untuk memperkenalkannya kepada murid.
4. Kemudian, sekali lagi guru menunjukkan kad-kad abjad tersebut dan meminta murid untuk mengenalpasti dan menyebut abjad-abjad yang ditunjukkan dengan bantuan guru.
5. Guru membetulkan setiap kesilapan sebutan murid sewaktu kad-kad abjad ditunjukkan.
6. Proses ini diulang sehingga murid mampu mengenalpasti dan menulis abjad-abjad yang telah diajar.
7. Seterusnya, guru melekatkan kad-kad abjad tersebut di papan hitam. Guru akan memilih murid secara rawak dan meminta murid tersebut mengambil kad kad di papan hitam berdasarkan apa yang disebut oleh guru.
8. Selepas itu, murid diminta membuat latihan bertulis dalam buku masing-masing. Guru akan menyebut abjad manakala murid perlu mendengar dengan teliti dan menulisnya dalam buku.

KAEDAH SUKU KATA

1. Suku kata ialah bahagian perkataan berasaskan kehadiran vokal.
2. Suku kata ditandai oleh suatu vokal dan wujud sebagai satu vokal atau bersama-sama dengan konsonan.
3. Dalam Bahasa Melayu, terdapat sebelas pola suku kata. Suku kata yang berakhir dengan huruf vokal dipanggil Suku Kata Terbuka.
4. Suku kata yang lain adalah Suku Kata Tertutup kerana diakhiri dengan huruf konsonan. Beberapa jenis suku kata :
(a) Kata tunggal satu suku kata. Contoh : K + V + K
(b) Kata tunggal dua suku kata. Contoh : V + KV (ibu, ela), V + VK (air, aib), V + KVK (adat, emas), VK + KV (anda, unda), VK + KVK (untuk, entah), KV + KVK (bukan, dekat).
(c) Kata tunggal tiga suku kata. Contoh : KV + V + KV (biasa, cuaca), KV + V + KV (kaedah).
(d) Kata tunggal empat suku kata. Contoh : KV + KV + KV + KV (panorama)

KAEDAH PANDANG SEBUT

1. Kad gambar, kad huruf, kad suku kata dan kad perkataan boleh digunakan di peringkat awal pengajaran untuk memperkembangkan kemahiran membaca.
2. Murid sendiri akan memegang kad-kad tersebut dan menyusunnya supaya menjadi perkataan yang bermakna.
3. Sentuhan secara fizikal mendorong murid mengingati pelajaran dengan mudah dan berkesan.
4. Kaedah ini memnetingkan dua perkara iaitu:
(a) Membunyikan perkataan rangkai kata berdasarkan pengalaman melalui gambar; dan
(b) Membunyikan ayat melalui gambar yang ada cerita.
5. Manakala kad perkataan pula boleh digunakan bagi melatih murid untuk menyebut perkataan yang dipaparkan oleh guru (secara flashcard) secara cepat dan pantas tanpa perlu mengeja terlebih dahulu. Ini bagi mempertingkatkan keupayaan murid untuk membaca.

KAEDAH FONIK

1. Menurut Azman Wan Chik, kaedah fonik adalah untuk mengajar murid melihat hubungan antara simbol (huruf) dengan bunyi supaya kemudian mereka dapat membaca (membunyikan) perkataan-perkataan baharu yang mereka jumpa.
2. Bunyi-bunyi huruf diajar. Ertinya lambang huruf terus dikaitkan dengan bunyinya. Contoh : “a” dibunyikan ‘aaaa…..’, “u” dibunyikan ‘uuuu…….’.
3. Setelah tahu hubungan tiap-tiap huruf dengan bunyinya, suku kata pula dibina. Misalnya, ‘ba’, ‘da’, ‘tu’ dan sebagainya.
4. Seterusnya, digabungkan suku kata ini menjadi perkataan seperti ‘baba’, ‘batu’, ‘ibu’ dan sebagainya.

KAEDAH GABUNGAN BUNYI KATA

1. Kaedah ini menggabungkan kemahiran membunyi beberapa huruf, suku kata dan membaca perkataan, rangkai kata, ayat (yang bermakna) dalam satu atau dua pelajaran.
2. Gabungan ini dibuat secara sistematik.
3. Tiap-tiap pelajaran berikutnya, beransur-ansur memperkembangkan kemahiran sebelumnya.
4. Pada akhir tiga atau empat pelajaran saja, murid-murid sudah boleh membaca beberapa perkataan dan rangkai kata yang mudah. Contohnya murid boleh membaca sendiri buku-buku cerita.

Rujukan

Azman Wan Chick, (1993). Mengajar Bahasa Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment